Saturday, July 31, 2010

RAMADHAN: Bulan Ibadah vs Bulah Juadah

Seringkali Rasulullah s.a.w.  berdoa dengan sabda baginda yang bermaksud:

 “Ya Allah, berkatilah aku di bulan Rejab ini dan juga bulan Sya’ban, serta sampaikan aku ke bulan Ramadhan.”

Rasulullah s.a.w.  selalu membacakan doa ini agar dipanjangkan usia dan diberikan peluang untuk menghadapi bulan Ramadhan. Ramadhan yang sangat terkenal dengan bulan keampunan dan rahmat Allah S.W.T.  akan dicurahkan dengan sebanyak-banyaknya. Bagi yang merinduinya, akan terus tidak sabar menanti kehadirannya. Tetapi, berapa ramai umat Islam hari ini yang tidak sabar menanti bulan ini disebabkan rasa ghairah dengan anugerah rahmat dan maghfirah Allah S.W.T.  dalam bulan ini? Atau pun disebabkan oleh rasa ghairah dengan juadah terhidang.

Susah nak jadi seperti Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Penantian bulan Ramadhan adalah disebabkan rasa rindu yang mendalam terhadap janji Allah S.W.T.  dan rasul-Nya. Dengan satu kepastian yang tidak dapat digoyahkan lagi bahawa di dalam bulan ini pintu syurga akan dibuka seluas-luasnya, pintu neraka akan ditutup serapat-rapatnya bahkan syaitan-syaitan akan dibelenggu. Maka, pada bulan ini ramailah di kalangan umat Islam yang beriman akan mempertingkatkan amal ibadah mereka. Ungkapan yang pasti itu lahir dari lidah seorang rasul.

Rasulullah s.a.w.  bersabda lagi bahawa pada bulan Ramadhan ini segala amalan sunat akan dianugerahkan kelebihan ganjarannya sebagaimana melakukan ibadah wajib pada bulan-bulan yang lain. Manakala melaksanakan amalan-amalan wajib dalam bulan ini akan digandakan ganjarannya sehingga 70 kali ganda berbanding amalan-malan wajib di bulan-bulan yang lain. Subhanallah…besarnya ganjaran Allah S.W.T.  kepada hamba-hamba-Nya dibulan ramadhan ini. Ini adalah hal keadaan bagi mereka mengetahui dengan yakin akan janji Allah S.W.T.  dan Rasul-Nya itu. Tetapi bagaimana pula bagi mereka yang tidak mengetahuinya atau ada yang tahu tapi buat-buat tak tahu.

Bagi mereka yang tidak kenal dengan bulan ini, Ramadhan lansung tidak membawa apa-apa perbezaan. Ramai juga yang menafsirkan bulan sebagai bulan untuk tambah rezeki. Di sana-sini banyak tempat yang boleh dibuat duit. Jual makanan. Bagi peniaga, mungkin inilah keberkatan yang cuba ditafsirkan oleh mereka. Pada saya, tidak salah menafsirkan sedemikian kerana sememangnya rezeki akan melimpah-ruah di bulan ini. Tetapi, alangkah ceteknya akal sekiranya ketinggian keberkatan bulan ini dinilai pada keuntungan material semata-mata sahaja. Bahkan ruginya seandainya pemikiran hanya diarahtujukan hanya kepada nilai mata kasar semata-mata.

Bagi mereka yang bukan peniaga pula, inilah bulan yang paling istimewa dengan juadah yang bermacam-macam lagi. Memang berbaloi kalau membeli di bulan ini. Apa yang diidamkan akan muncul di bulan ini. Nafsu makan menjadi raja dan bermaharajalela dalam diri menguasai dan menjajah iman yang sememangnya tidak seberapa gagah. Akhirnya, bukan keredhaan Allah S.W.T.  yang diperolehi tetapi terpalit dengan gelaran sahabat syaitan kerana membazir.

Tidak lama lagi kita akan bertemu sekali lagi dengan bulan Ramadhan ini. Dengan kehadirannya, maka akan hadirlah kerahmatan dari Allah S.W.T. . Sama-samalah kita mencari suatu kelainan pada Ramadhan kali ini. Tanamkan rasa penantian dalam hati terhadap kehadiran bulan ini. Berdoalah agar kita dipanjangkan usia agar kita dikurniakan rezeki usia dan kudrat untuk mencari keredhaan Allah S.W.T.  di bulan yang mulia ini. Kalau sebelum ini kita sibuk dengan bazar Ramadhannya, jom untuk kali ini, kita sama-sama mengimarahkan rumah Allah S.W.T.  bertarawih secara berjamaah. Tinggalkan dulu buku resepi masakan buat seketika, untuk mengisi masa bertadarus bersama-sama di masjid, surau mahupun di rumah. Sibukkan diri kita untuk Ramadhan kali ini dengan ibadah dan bukannya dengan membeli atau menyediakan juadah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...