Thursday, August 19, 2010

BERPUASA UNTUK KETAQWAAN

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (al-Baqarah: 183)

Ibn al-'Arabi berkata: (sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang yang dahulu daripada kamu). Tentang ayat ini, terdapat tiga pendapat, iaitu:
  1. Yang dikatakan orang yang terdahulu ialah golongan ahli Kitab
  2. Mereka ialah golongan Nasrani
  3. Mereka ialah semua umat Islam
Namun, pendapat yang terakhir ini tidak boleh diterima kerana golongan orang sebelum kita, ada yang berpuasa dengan hanya menahan lidah daripada bercakap, sedangkan puasa sebegitu tidak terdapat dalam Syariat kita. Justeru, pada zahirnya yang dimaksudkan di sini ialah golongan Nasrani berdasarkan dua sebab iaitu:

Pertama: Mereka orang yang paling hampir dengan kita

Kedua: Pada zaman awal Islam, berpuasa bagi orang yang tidur tidak membatalkannya dan ia adalah hampir mirip dengan cara puasa orang Nasrani.

Berdasarkan kepada ayat di atas, dapat disimpulkan bahawa natijah puasa itu ialah untuk mencapai ketaqwaan. Inilah hikmah yang terbesar dari pelaksanaan ibadat puasa yang penuh dengan adab dan etikanya. Di sini diterangkan maksud taqwa itu sendiri:
  1. Saidina Ali RA berkata: "Takwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kita yang diturunkan. redha dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan."
  2. Al-Nasr Abazi Rahimahullah berkata: "Takwa ialah seorang hamba bertaqwa atau memelihara selain daripada Allah SWT."
  3. Abu Bakar Muhammad al-Rauzabari rahimahullah berkata: "Takwa ialah menjauhi apa yang menjauhimu daripada Tuhan."
  4. Talaq bin Habib rahimahullah  berkata: "Takwa ialah amalan dengan ketaatan kepada Allah SWT."
  5. Abu Hafs rahimahullah  berkata: "Takwa hanya pada perkara yang halal semata-mata dan bukan yang lain."
  6. Ibn Ataillah rahimahullah  berkata: "taqwa terbahagi kepada dua: iaitu zahir dan batin. Zahirnya ialah dengan menjaga had dan batasan serta batinnya pula dengan niat dan ikhlas."
  7. Abu al-Husin al-Zanjani rahimahullah berkata: "Siapa yang bermodalkan hartanya dan takwa, nescaya beratlah segala lidah daripada mensifatkan baunya."
  8. Al-Wasiti rh berkata: Takwa ialah seseorang memelihara dari takwanya, yakni dari melihat ketakwaannya."
  9. Abdullah bin Mas'ud RA mengatakan : "Takwa ialah kamu sentiasa mengingati Allah dan tidak melupakannya, dipatuhi dan tidak diderhakai, disyukuri dan tidak diingkari."
Daripada takrifan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa takwa boleh menjadikan seseorang melakukan amar makruf dan nahi mungkar, di samping taqarrub kepada Allah dengan amalan-amalan yang sunat. Kepentingan takwa amat jelas apabila dinyatakan bahawamanusia yang paling mulia di sisi Allah ialah mereka yang paling bertakwa. dalam hal ini, sudah menjadi kemestian bagi Ulu al-Bab memakaikan sifat takwa ke dalam diri mereka, sesuai dengan fungsi sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi.

Sumber: Ahkam wa Fatawa al-Siyam oleh Dr. Zulkifli Mohammad al-Bakri

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...