Sunday, May 23, 2010

HIBURAN MELAMPAU DAN MUSNAHNYA SEBUAH TAMADUN

Dengan nama Allah S.W.T. yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi s.a.w, juga ke atas ahli keluarga baginda dan para sabahat baginda.

Islam agama yang sempurna. Sumber Islam ialah al-Quran dan Hadith Nabi s.a.w. Di dalamnya terkandung peraturan, larangan, seruan, galakan dari sekecil-kecil perkara yang berkaitan amalan setiap manusia sehinggalah kepada persoalan pemerintahan negara. Alhamdulillah... beruntungnya kita berada dalam cara hidup yang sempurna ini iaitu ISLAM. Artikel hari ini akan mengupas tentang hiburan serta batas-batasnya dalam Islam. Bukan bermakna Islam melarang untuk kita berhibur, bahkan indahnya Islam ini apabila Islam sendiri menyediakan alternatif untuk berhibur kepada manusia. Hiburan yang membina insan bukan yang menghinakan.... Bahkan hiburan turut menjadi kayu ukur kepada tahap kegemilangan tamadun sesuatu bangsa. Bukan beerti kita membawa masuk segala bentuk hiburan barat dan tempatan yang menghairahkan itu sudah dikira bertamadun. Bahkan tingginya tamadun sesuatu bangsa itu apabila hiburannya dapat membantu membina kekuatan jati diri manusia kepada Tuhannya.

HIBURAN DAN ISLAM

Islam menyediakan hiburan alternatif yang mampu mendidik hati insan ke arah mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM) menegaskan bahawa hiburan yang memisahkan antara sama ada hiburan itu boleh atau tidak menurut Islam adalah sejauh mana hiburan tersebut mencapai maksud dan prinsip Islam yang menekankan ke arah kesejahteraan umat manusia. Islam mensyaratkan persembahan dalam program-program mestilah Tidak menimbulkan gerakgeri liar; Tidak mendorong kepada kepada perbuatan maksiat dan Tidak melalaikan. Manakala persembahan artis pula hendaklah menepati syarat-syarat tertentu iaitu: Berinteraksi dengan penonton secara sopan dan disertai dengan kata-kata yang boleh membina nilai-nilai kemanusiaan; Berpakaian kemas, sopan dan tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam; Tidak melakukan gerak geri dan perkataan yang boleh menimbulkan perasaan yang mendorong kepada maksiat dan menghina Islam; Tidak mengucapkan kata-kata yang boleh menggalakkan perbuatan maksiat atau menghina Islam.(sumber: http://www.islam.gov.my)

HIBURAN MELAMPAU DAN KEJATUHAN KHILAFAH ISLAM UTHMANIYYAH

Tahun 1924, dunia menyaksikan kejatuhan kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah yang bertahan ratusan tahun lamanya. Para ulama dan pakar sejarah memberikan kesimpulan dan menyatakan bahawa antara faktor yang menyebabkan tumbangnya Kerajaan Islam Uthmaniyyah adalah berpunca daripada sikap umat Islam pada ketika itu yang dipengaruhi oleh hiburan yang melampau. Buktinya ialah; pada tahun 1924 iaitu tahun kejatuhan khilafah Islam Turki, kelekaan umat Islam dengan hiburan sehingga menyebabkan umat Islam pada ketika itu terlupa untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri dan mengqadhakannya selepas solat maghrib pada hari tersebut. Inilah kedahsyatan yang berlaku sehinggalah Allah S.W.T. menghantar bala dan petaka yang besar dengan merebahkan ketuanan Islam di Turki.

HIBURAN DAN KERUNTUHAN MORAL

Hiburan melampau akan meruntuhkan tamadun sesebuah bangsa. Sebagai Turki yang telah terlebih dahulu melaluinya, apakah kita bersedia untuk merasai pedih sebuah tamadun yang dibina selama ini akhirnya rebah di Malaysia. Umat Islam wajib menghalang daripada merebaknya gejala dan budaya hiburan yang melampu ini yang pastinya merosakkan umat Islam dan masyarakat umumnya.

Dari Abu Said Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang melihat kemungkaran hendak dia mengubah dengan tangannya(kekuasaan); jika dia tidak mampu; maka ubahlah dengan lidahnya (mencegah dan nasihat); jika dia tidak mampu juga; maka ubahlah dengan hati, dan itu adalah selemah-lemah iman. HR Muslim

Oleh itu, sama-samalah kita berganding bahu bersatu tenaga bagi membenteras segala usaha yang mengundang kemungkaran dari Allah S.W.T. Penganjuran pesta-pesta hiburan yang bercanggah dengan syariat dan merosakkan akhklak remaja hari ini seharusnya ditolak demi kemaslahatan umat Islam di Keningau khasnya dan seluruh dunia amnya. Sama-samalah kita menghayati firman Allah S.W.T. yang bermaksud: bertolong-tolonglah kamu dalam perkara-perkara kebaikan dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam perkara-perkara kemungkaran(Surah al-Maidah: ayat 2). Ya Allah pelihara umatku dari bala bencanamu akibat kejahilan kami. Jauhilah kami dari kemurkaan-Mu ya Allah. Amin ya Rabbal Alamin. -kalam-

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...