Saturday, June 12, 2010

12 PERIBADI CEMERLANG IBADURRAHMAN: Tawaduk

Surah al-Furqan dari ayat 63 hingga 77 memberikan satu gambaran jelas tentang ciri-ciri ibadurrahman yang selayaknya mendapat keredhaan Allah S.W.T. dan rahmat-Nya. Dalam melayari kehidupan di dunia yang penuh mencabar ini; maka selayaknya kita mengambil ciri-ciri ini asas kita untuk kelansungan kehidupan di dunia dan seterusnya. Dalam siri perbincangan 12 Ciri Cemerlang Ibadurrahman ini, saya cuba berkongsi dengan pengunjung sifat-sifat Ibadurrahman yang wajib kita miliki. Apatah lagi jika kita yang bergelar muslim yang menggalas amanah dakwah di bumi Allah ini. Memiliki sifat ini suatu kemestian...atau kita akan disisihkan darinya dan terjerumuh ke dalam lubang ibadussyaitan. Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah menghuraikan secara baik ciri-ciri ini dan insya Allah, saya akan berkongsi penulisan beliau di sini.

Ciri 1: TAWADUK

Dalam ayat 63 surah al-Furqan; Allah S.W.T. yang bermaksud:
Dan Hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman iaah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun ...
Sifat pertama yang terkandung dalam ayat ini ialah hamba Allah yang memiliki rendah hati, tawaduk dan lemah lembut, berjalan dengan penuh kewibawaan dan kehormatan. Tidak dengan sikap sombong dan semahunya sendiri, tidak merasa lebih tinggi dari sesiapa dan tidak bongkak. Sifat ini bertepatan sekali dengan ayat Allah yang lain dari surah al-Israa' ayat 37 yang bermaksud: "Dan janganlah engkau berjalan di atas muka bumi Allah dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak dapat menyamai setinggi gunung-ganang." Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan bahawa tawaduk akan memberikan kesan kasih sayang Allah dan manusia terhadap kita. Allah tidak suka kepada orang yang suka bermegah-megah dan bongkak.

Berjalan di muka bumi Allah dengan sifat sombong beerti memperlihatkan sifat kesombongan dalam perbuatan , sedangkan membanggakan diri dalam perkataan ialah berbangga-bangga dengan keturunan. Berjalan dengan rendah hati tidak bermaksud menunjukkan kelemahan dan dhaif sehingga menimbulkan fitnah terhadap agama. Tetapi, berjalan dengan lembut dan tawaduk, tetap menunjukkan kekuatan, sedikit mempercepatkan langkah kaki sesuai dengan perawakan, umur dan kemampuan.

Tidak ada apa yang seharusnya dibanggakan dengan apa yang pada diri kita. bahkan amalan yang kita lakukan itu tidaklah menjadi sebab untuk dimegah-megahkan walaupun ianya berupa kebaikan. Kerana semua itu adalah hak milik Allah S.W.T. Sedang Allah yang menilai atas setiap yang dilakukan. Sifat ini bukan suatu yang semulajadi dimiliki, tetapi ia perlu dipupuk berlandaskan kepada ilmu dan kesedaran tentang kekerdilan diri. Insya Allah, Ibadurrahman bakal dinobatkan buat kita. Mudah-mudahan Allah permudahkan urusan agama kita. Amin...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...