Wednesday, November 23, 2011

Penceramah, Pendakwah dan Pejuang

"Susah nak jadi pejuang ustaz...kalau boleh jangan jadi penceramah sahaja." kata seorang sahabat kepada saya ketika saya menziarahinya di hospital semalam. Sahabat yang banyak memberikan inspirasi kepada saya dalam menyusun gerak langkah perjuangan kehidupan ini. Biarpun usia kami agak jauh jurangnya, tetapi nilai kepada sebuah persahabat tak berhajatkan kepada perbedaan semua itu. Saya hanya akur dengan kata-katanya dan terus mendengar dengan penuh penghayatan. Sememangnya saya akan mengabil sikap lebih banyak diam apabila saya bercakap dengannya kerana saya tahu banyak kata-katanya itu yang terkandung hikmah yang dikendong bersama pengalaman dalam arus perjuangannya sebelum ini. Orang yang banyak membaca, akan 'bisa' kata-katanya.

Hakikatnya, memang senang untuk jadi penceramah bahkan boleh sahaja menempa nama besar sebagai penceramah. Banyak ilmu atau sedikit ilmu rasnya bukanlah ukuran utama. Tetapi bagaimana cara memanipulasikan ilmu yang sedikit itu sehingga mampu memukau pendengar. Inilah apa yang terjadi sejak kebalakngan ini. Apatah lagi, sekarang ini ramai para penceramah yang lebih mengutamakan 'sampul' berbanding tanggungjawabnya menyampaikan risalah nubuwwah ini. Saya tertarik dengan satu penulisan Dr Asri dalam webnya yang bertajuk Dosa Siapakah Atas Kejahilan Manusia seolah-olah memberi satu tamparan hebat bahawa betapa besarnya tanggungjawab para pendakwah dalam memastikan manusia dapat keluar dari penjara kejahilan.

Pendakwah tidak sahaja bermain di pentas-pentas masjid. Tidak juga bergaya membaca teks ceramah di depan lensa kamera video untuk satu-satu rakaman di kaca televisyen. Bahkan tugasnya harus mendasari denyut nadi masyarakat. melihat dan mentafsir dengan jujur dan ikhlas seterusnya bertindak dengan penuh kebijaksanaan. Mengeluarkan manusia dari belenggu kejahilan umat bukanlah suatu kerja mudah. Sunnah perjuangan Rasulullah s.a.w. adalah cermin kepada hakikat dakwah yang seharusnya dijejaki oleh setiap pendakwah. Medan dakwah sangat luas. Cabaran dakwah dan perjuangan juga sangat sengit. Perjuangannya memerlukan pengorbanan. Tidak cukup dengan hanya merasa selesa sekadar dapat berucap selama beberapa minit atau beberap ajam seminggu, kemudiannya mendabik dada bahawa 'aku sedang berjuangan dan berdakwah' sedangkan masih banyak gejala kejahilan umat bermaharajalela di luar sana. Sekiranya cukup sekadar itu sudah dapat dikira sebagai sebuah perjuangan maka apalah manisnya perjuangan itu? Apalah maknanya pula nilai suatu kemenangan?

Seorang pejuang merasai derita rakyat dan umat. Mengangkat manusia kepada rasa berTuhan dan yakin dengan segala janji Allah. Menggantikan kebobrokan manusia dengan kebajatan aqidah dan agama-agama kepada adilnya Islam, menunjukkan jalan keluasan Islam yang melangkaui alam duniawi dan ukhrawi. Inilah intipati seorang pejuang yang ikhlas dan jujur. Sebagaimana kata-kata Rib'e bin Amir kepada panglima tentera Paris apabila ditanya tentang kedatangan tentera Islam untuk menyerang Parsi, maka jawab Rib'ie dalam satu ungkapan yang rigkas, tetapi padat dengan makna dan hikmah yang memukau: "Kami diutuskan oleh Allah untuk mengeluarkan sesiapa yang dikehendaki oleh Allah dari penyembahan sesama makhluk kepad apenyembahan kepada Allah yang Esa, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat."


Saya teringat kata-kata Imam al-Banna dalam satu ucapannya bersama penyokongnya bahawa kewajipan yang kita ada lebih bayak dari masa yang kita punyai. Tatkala, dunia hari ini dibelenggu dengan kejahilan dalam pelbagai perkara, tak usahlah kita mendabik dada menghitung kerja-kerja kita yang tidak seberapa. Turunlah ke medan dakwah yang sebenar, mengangkat manusia dengan ilmu dan kefahaman pada agama dan berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir. Jadilah seperti Rasulullah yang juga sebagai penceramah, pendakwa dan pejuang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...