Tuesday, July 19, 2011

Pusat Hiburan: Kedah vs Melaka

Setiap ruang kuliah yang terisi di surau-surau atau masjid-masjid di negara ini, para ustaz dan imam mengingatkan para jemaah tentang kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak. Ramai umat Islam membincangkan persiapan-persiapan awal menghadapi bulan yang penuh dengan kemuliaan itu. Ketika ramai orang sedang mempersiapkan diri menghadapi bulan mulia ini dengan amalan ibadah, Mohd Ali Rustam ,Ketua Menteri Melaka meluluskan lanjutan masa operasi pusat-pusat hiburan di negeri dari jam 1 pagi kepada 3 pagi. Walaupun tindakan 'kurang akal' ini mendapat tentangan dari pelbagai pihak termasuklah dari Biro Agama UMNO sendiri dan DAP. Keputusan itu dibuat ikutan permintaan beberapa pengusaha pusat hiburan yang beroperasi di negeri itu.

Sebaliknya negeri kedah baru-baru ini telah membuat ketetapan penutupan semua pusat-pusat hiburan yang beroperasi di negeri itu bagi menghormati bulan Ramadhan al-Mubarak. Kata Menteri Besar Kedah, penganut agama selain Islam sewajarnya menghormati bulan Ramadhan sebagai bulan ibadah yang mulia bagi umat Islam. Walaupun tindakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu, yang diterajui oleh PAS mendapat tentangan beberapa pihak dan diminta untuk dikaji semula, menteri besarnya menegaskan bahawa ianya tidak perlu lagi dibahaskan kerana persoalan agama sewajarnya diberi penghormatan.

PUSAT HIBURAN DAN KEROSAKAN GENERASI

Semua pihak mengetahui bahawa pusat-pusat hiburan apatah lagi kelab-kelab malam di bandar-bandar besar seperti Melaka Raya, sememangnya terdedah dengan pelbagai perkara sumbang yang boleh meruntuhkan masyarakat. Walaupun tidak dinafikan bahawa tindakan ini lebih kepada meraikan pelancong-pelancong yang datang di negeri itu, tetapi apakah jaminan bahawa tidak akan ada perkara-perkara maksiat yang melibatkan masyarakat Malaysia terutamanya anak-anak remaja. Apa yang pasti ialah pekerja-pekerja dari pusat-pusat hiburan itu terpaksa menambah kerja lebih masa.

SIMBOLIK BUTA

Manusia menilai atas ilmu yang dimilikinya. Ilmu yang dipandu dengan iman dan sumbernya ialah al-Quran. Tindakan manusia yang kadang-kadang takboleh diterima akal ini bertitik tolak dari pemikiran seseorang itu serta cara hidup mereka. Adakah memadai untuk kita menyatakan tentang kegemilangan sesebuah tamadun dengan hebatnya pusat-pusat hiburan yang mereka miliki. Tidak ada dalam sejarah ketamadunan Islam yang mencatatkan bahawa kehebatan tamadun yang dibangunkan tertegak atas pusat-pusat hiburan mereka yang hebat. Pusat-pusat hiduran bukanlah suatu mercu tanda kehebatan sesebuah kerajaan atau tamadun.Bukanlah kerana Melaka sudah dianggap negeri yang maju, maka wajar untuknya membuka ruang-ruang maksiat dengan lebih luas lagi. Simbolik kepada sesebuah kerajaan terletak kepada budaya ilmu, akhlak dan moral rakyatnya, pembangunan sritual dan fizikal negerinya dan rakyatnya. Bukan hiburan yang sebagai tonggak. Inilah simbolik buta yang tercerna dari pemikiran sekular sesetengah pemimin hari ini.

MENILAI SEMUA

Tindakan negeri Melaka sewajar dinilai semula bagi menghormati sensitiviti setiap masyarakat. Jangan disebabkan kehendak dan tuntutan sesetengah pihak yang ditagihkan, maka Islam yang dipegang terpaksa digadaikan. Melaka dalam lipatan sejarahnya adalah negeri Islam yang menggunakan hukum undang-undang jenayah Islam dalam pemerintahannya suatu ketika dahulu. Hari ini, nampaknya bukan Islam lagi yang mahu dipertahankan, tetapi semacam Melaka cuba memadamkan sejarah putih itu dengan dakwat hitam dari tangan-tangan pemimpin-pemimpin mereka. Wallahu A'lam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...