Thursday, October 7, 2010

IJTIMA' TARBAWI: Kemenangan Semakin Hampir

Saya teringat apabila era kemenangan Islam zaman Rasulullah s.a.w. yang mana tulang belakang perjuangan baginda ialah barisan pemuda yang bertaqwa dan gagah mempertahankan Islam. Bahkan Nabi Muhammad sendiri adalah seorang pemuda ketika mana baginda menjunjung risalah Islam. Tokoh-tokoh besar yang bersama-sama bersama dengan Rasulullah di awal Islam seperti Abu Bakar yang berusia 38 tahun, Talhah bin Ubaidillah; 16 tahun, Arqam bin abi al-Arqan berusia 16 tahun, Mus'ab bin Umai berusia 20 an. Saidina Umar ketika memeluk Islam pada tahun kelima Nubuwwah berusia 27 tahun. Usia muda suatu ketika dahulu telah menjanjikan suatu keunikan dan ancaman yang hebat kepada musuh-musuh Islam. Di era Madaniyyah pula, sirah telah melakarkan bahawa sekali lagi pemuda menjuari pentas kebenaran dalam mempertahankan Islam menentang kekufuran. Pemuda menjulang panji-panji islam dan ada di antara mereka yang gugur syahid merebah bumi mengecap redha Ilahi. Dalam peperangan Badar al-Kubra pada 17 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah, anak-anak muda perkasa membarisi barisan hadapan perjuangan seperti Saidina Ali bin Abi talib, Ubaidah bin al-Harith yang bertarung satu lawan satu dengan wakil Mekah (al-Mubarazoh), Abdullah bin masud, seorang anak muda yang memenggal leher Abu jahal yang digelar oleh Nabi sebagai Fir'aun kepada umat ini. Inilah sejarahnya. Namun, sekali-kali ia tidak menafikan peranan golongan awal atau lama dalam saff perjuangan Islam.

Fenomena yang pernah diukirkan oleh sejarah itu, kini kembali terukir di persada politik tanahair di Malaysia apabila saya melihat suasana sambutan golongan pemuda terlibat dan melibatkan diri, semangat dan roh perjuangan bersama-sama dengan PAS. Dalilnya apabila Dewan Pemuda PAS Pusat telah menganjurkan Ijtima' Tarbawi di Rusila, Marang Terengganu baru-baru ini yang berjaya mengumpulkan lebih 5000 penyertaan pemuda dari seluruh negara. Ijtima' yang diadakan selama 3 hari 2 malam itu berupa program pengisian tarbiyyah dalam memantapkan perjalanan perjuangan PAS pada hari ini. Inilah realiti yang pernah berlaku suatu ketika dahulu dalam perjuangan Rasulullah dan juga para pendokong-pendokong Islam seluruh dunia.

Kebangkitan Pemuda Kegerunan Musuh

Pemuda bangkit berbekalkan kefahaman dan semangat cintakan Islam mampu menumbangkan kekejaman musuh. Biarpun musuh itu adalah sebuah gergasi mega yang gila. Kerana kualiti sentiasa menewaskan kuantiti. Firman Allah yang bermaksud: "Berapa ramai kumpulan yang kecil mampu menumbangkan kumpulan yang besar dengan izin Allah". Saya cuba kongsikan di sini dialog Saidina Umar dengan teman-temannya yang pastinya memberikan kita suatu manfaat dalam menghayati erti perjuangan dan menilai kualiti sesuatu perkara.

Di dalam sebuah rumah di Madinah, ‘Umar al-Khattab radhiyallaahu ‘anhu duduk bersama dengan sekumpulan sahabat. Beliau berkata kepada mereka, “nyatakan harapan kamu!” Salah seorang daripada mereka berkata, “impianku adalah untuk memiliki emas yang dapat memenuhi rumah ini, agar aku dapat membelanjakannya di jalan jihad.” Kemudian ‘Umar berkata lagi, “nyatakan harapan kamu!” Seorang lagi sahabat berkata, “impianku adalah agar rumah ini penuh dengan permata dan mutiara agar semuanya dapat kubelanjakan untuk jihad dan kebajikan fi sabilillah.” ‘Umar berkata lagi buat kali yang ketiga, “nyatakan harapan kamu!” Lalu sahabat-sahabat yang ada berkata, “kami sudah tidak tahu apa yang patut diperkatakan wahai Amirul Mu’minin.”Lalu ‘Umar berkata, “harapanku ialah agar rumah ini penuh dengan lelaki-lelaki seperti Abu ‘Ubaydah ibn al-Jarrah, Muaz ibn Jabal dan Salim budak suruhan Abu Huzaifah, agar mereka semua dapat digunakan bagi meninggikan kalimah Allah!”



Kerana itu, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda:

إنما الناس كإبل مائة،لا تكاد تجد فيها راحلة
“Lelaki berkualiti seperti unta hanya satu dan yang mampu menanggung beban yang berat untuk perjalanan yang panjang, kamu sukar untuk menemuinya sebagai satu dalam seratus” [Hadith riwayat al-Bukhari]

Pemuda PAS telah memulakan rentak ini dan untuk kali yang pertama diadakan di Terengganu ini menjadi satu bench mark kepada PAS dan UMNO serta mad'u-mad'u politik PAS yang lain bahawa Pemuda hari ini adalah pemangkin kemenangan. Corak  warna kemenangan mahu dilakarkan bergantung bagaimana pemuda itu dicorak dan diwarnakan. Putih atau hitam. Beriman atau sebaliknya....dan UMNO pun boleh lakukannya untuk pemuda-pemudanya.....

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...