Monday, May 24, 2010

PERANAN HOSPITAL ISLAM KE ARAH PEMBENTUKAN DAULAH ISLAMIYYAH

Kertas Kerja ini dibentang sempena PAPISMA YOUTH CONVENTION 2010, KEM LAMBAIANA, HULU LANGAT, SELANGOR Pada 25 April 2010

PENDAHULUAN

“Sebenarnya penaklukan Kota Konstantinopel bukan dilakukan oleh Sultan Muhammad al-Fatih secara kebetulan. Ia cukup mengadakan segala macam persiapan dan perhitungan yang matang sebelum memulai pekerjaannya itu. Ia menggunakan kemajuan ilmu pengetahuan yang telah dicapai pada masa itu”. (Barron Carra de Vauenulis, Pemikir-pemikir Islam)

Islam ini tidak akan menjadi baik hari ini kecuali dengan apa yang ia menjadi baik kelmarin. Iaitu mengimaninya dengan keimanan yang mencengkam sampai ke lubuk hati orang-orang yang beriman, sehingga mereka merasai kemanisan berkorban untuk agama, sama ada berupa jiwa mahupun harta. Merasa kuat dan mulia dengan melaksanakan syariat, ajaran dan contoh-contoh yang baik untuk membangunkan dunia dan membahagiakannya. Dan mendakwahnya dengan amal yang soleh dengan kekuatan(kekuasaan) yang baik pula, tidak menghukum kecuali dengan hukuman yang ditetapkan Allah S.W.T. , dan menjadikan kehidupan dan persoalannya sesuai dengan ajarannya.

Inilah rahsia kejayaan mereka, sehingga tertegaknya khilafah yang kukuh, dengan prinsip yang jitu, sehinggakan kegemilngannya menjadi kajian, buah bicara manusia dulu dan kini dan turut menjadi suatu kebanggaan umat Islam hari ini walaupun ia tidak menyedari intipati kegemilangannya. Kata seorang penyair Islam; “seorang Muslim itu tidak diciptakan untuk mengikuti gelombang, lalu berjalan mengikuti langkah manusia ke mana sahaja ia berjalan dan mengadap, tetapi seorang muslim itu diciptakan untuk menghadapi dunia, masyarakat dan peradaban yang menentukan arah yang harus dituruti oleh manusia, kerana punya risalah, punya ilmu yang yakin, merasa bertanggungjawab terhadap keselamatan alam, perjalanannya dan arah tujuannya.(Abu al-Hasan Ali al-Hasani al-Nadwi: 1984)

Islam bukan sekadar di tikar sembahyang, bukan hanya seseorang itu berpuasa dan berulang-alik pergi ke tanah Suci Makkah, sudah memadai untuk kita katakan sempurna Islamnya. Dan dia tidak lagi perlu memikirkan tentang persoalan umat yang semakin hari semakir getir mencabar wibawa umat Islam yang diagungkan sebagai penyelamat ummat. Islam semestinya menyerap masuk dalam setiap denyut nadi umat. Inilah resepi kejayaan umat sebelum ini. Baik dalam persoalan individu, kemasyarakatan mahupun dalam persoalan yang lebih besar iaitu kenegaraan seterusnya berlanjutan kepada tertegaknya khilafah Islamiyyah.

DAULAH ISLAM PASTI AKAN TERTEGAK

Sebagaimana Islam suatu ketika dahulu pernah diperintah, dipijak dan dihinakan sebelum kebangkitannya, kemudian masa berlalu bersama perubahan di mana Islam mula dilihat sebagai satu bumbung yang paling selamat. Maka, berduyun-duyunlah manusia pada ketika itu memeluk Islam dan menjadi penganut yang hebat dan menjadi perisai Islam. Perkembangan Islam dilihat rancak dari bermulanya era Nubuwwah hinggalah apabila berlakunya zaman fitnah apabila antara Muawiyyah dan Saidina Ali. Namun, batang tubuh serta prinsip para sahabat pada ketika itu bukan mudah untuk dipatahkan mahupun dicalarkan. Sejarah memberikan jawapannya apabila Islam terus berkembang terus sehinggalah pada Zaman Bani Abbasiyyah.

Keadilan Islam terserlah melalui sistem-sistem pemerintahan yang diamalkan. Islam menjadi paksi keadilan Negara. Islam bukan sekadar menjadi agama rasmi, bahkan bukan sekadar mempertahankan kalimah Allah S.W.T. sebagai bukti kukuhnya Islam pada masa itu, tetapi apa yang dapat dilihat pada zaman keemasan Islam ini ialah kehebatan individunya, kekuatan masyarakat dan pemimpinnya seterusnya keteguhan dasar Negara yang pada ketika itu manusia keseluruhannya dipayungi dengan sistem khilafah. Dr. Mustafa Husni al-Sibaci telah menggariskan beberapa faktor keunikan sesebuah tamadun Islam yang dijadikan teras sesebuah Negara yang bernaung di bawah khilafah ini:

1. Peradaban Islam berpijak pada asas wahdaniyyah (ketunggalan). Peradaban yang mutlak dalam akidah peradaban Islam adalah peradaban pertama yang menyerukan bawa Tuhan itu Tunggal(Esa) dan tidak mempunyai sekutu dalam kekuasaan dan kerajaan-Nya. Hanya Dia-lah yang disembah dan hanya Dia-lah yang dituju. Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Fatihah ayat ke-5:

Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja Kami memohon pertolongan.

Ketinggian dalam memahami wahdaniyyah ini mempunyai pengaruh besar dalam mengangkat martabat manusia, membebaskan rakyat jelita dari kezaliman raja, pejabat, aristokrat dan tokoh agama. Tidak itu sahaja, wahdaniyyah ini berpengaruh besar dalam meluruskan hubungan antara penguasaan dan rakyat, dalam mengarahkan pandangan hanya kepada Allah S.W.T. semata. Justeru aqidah ini mampu membezakan tamadun agung yang lain sebelum ini mahupun yang akan datang yang berteras tunjangkan kepada fahaman kebendaan dan keberhalaan kuno dan moden.

2. Peradaban Islam mempunyai kecenderungan dan tujuan kemanusiaan, cakerawala dan risalah kosmopolitan. Islam telah menjelaskan hal keadaan ini yang terkandung dalam firman Allah S.W.T. dari surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).

Pengiktirafan Islam ini mampu membuka mata sekalian manusia dalam menggabungkan kepelbagaian kemahiran (multiple intelligences) yang ada dari segenap bangsa dan kelompok masyarakat. Peradaban Islam dapat membanggakan tokoh-tokoh genius pembangun peradaban dari semua umat dan bangsa sehingggakan mereka mampu mempersembahkan produk pemikiran yang paling mengkagumkan.

3. Peradaban Islam menjadikan tempat pertama bagi prinsip-prinsip moral dalam setiap sistem dan berbagai bidang kegiatan. Ia tidak pernah lepas dari prinsip-prinsip akhlak dan tidak menjadikannya sebagai asas bagi kepentingan rakyat, kelompok atau individu.

4. Peradaban Islam berpegang teguh pada ilmu dalam pangkalnya yang paling lurus dan bersandar pada aqidah dalam prinsipnya yang paling jernih. Peradaban Islam berbicara kepada akal dan hati secara bersama dan membangkitkan perasaan dan fikrah dalam masa yang sama. Di samping itu, dengan prinsip inilah juga, peradaban Islam mampu menciptakan sistem Negara dengan berpijak pada prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan bersandarkan kepada agama dan akidah tanpa mengejar kemajuan negara dan kesinambungan peradaban. Ilmu agama adalah salah satu faktor terbesar kemajuan dalam negara. Maka, dari dinding-dinding masjid di Baghdad, Damaskus, Cairo, Cordova dan Granada memancarlah sinar-sinar ilmu ke segenap penjuru dunia. Keadilan tetap diambil kira tanpa membezakan antara yang berkedudukan, berharta dan ternama dengan mereka yang merana di jalan-jalan raya, mahupun rakyat jelata yang tidak seberapa. Firman Allah S.W.T. bermaksud :

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaKu Bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang satu; oleh itu, sesiapa Yang percaya dan berharap akan pertemuan Dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal Yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun Dalam ibadatnya kepada Tuhannya".

5. Peradaban Islam mempunyai toleransi agama yang mengagumkan yang tidak pernah dikenal oleh peradaban lain yang juga berpijak pada agama.

Cukuplah bagi kita untuk mengetahui bahawasanya peradaban Islam menjadi unik dalam sejarah kerana yang mendirikannya adalah satu agama, tetapi kerberadaannya ditujukan untuk agama-agama lainya.

DAULAH ISLAM DAN FUNGSINYA

Penulis merasakan perlunya kita meneliti seketika peranan sebenar daulah dalam kehidupan manusia sehinggakan ianya menjadi salah satu di antara tujuan dan fokus perjuangan. Buktinya dapat kita lihat terlalu banyak bahan-bahan penulisan dan juga perucapan yang melahirkan rasa pentingnya kepada tertegaknya daulah Islamiyyah. Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun Islam yang gemilang yang diasaskan oleh ajaran Islam secara total mampu memberi impak terhadap kehidupan dunia. Al-Syahid Hasan al-Banna menegaskan bahawa; selepas kejatuhan khilafah pada 1924 umat Islam memerlukan pembinaan kembali sistem tersebut. Dr. Mustafa Husni al-Sibaci telah mencatatkan bahawa khilafah Islam mampu memberikan kesan yang bersifat abadi dalam kehidupan dunia:

1. Kesan Terhadap Aqidah dan Agama

Dasar-dasar prinsip peradaban Islam mempunyai pengaruh yang besar terhadap gerakan-gerakan reformasi keagamaan yang berlansung di Eropah sejak abad VII Masehi sehinggalah zaman kebangkitan renaissance(kebangkitan). Islam menyatakan keesaan Allah S.W.T. dan kekuasaan-Nya yang Maha Ghaib serta kesucian-Nya dari kekurangan, kezaliman dan berjisim.

Islam menyatakan kebebasan manusia dalam menyembah dan berhubung dengan Allah S.W.T. Dengan Islam, manusia memahami syariat-syaraiat-Nya tanpa perantaraan tokoh-tokoh agama. Perkara ini mampu membuka akal dan cara berfikir bangsa-bangsa mengenai prisip-prinsip yang kuat, kukuh dan mengkagumkan dari Islam yang pada ketika itu, bangsa-bangsa terbelunggu dengan pertelingkahan aliran dalam agama dan terkongkong dalam ketundukan terhadap kekuasaan tokoh-tokoh agama.

Banyak peneliti menegaskan bahawa Martin Lurtherdalam gerakan pembaharuannya, terpengaruh oleh pandangan para filosof Arab dan ulama muslimin mengenai agama, akidah dan wahyu. Buku-buku para ilmuan Islam pada ketika itu dijadikan bahan rujukan asas di institusi-institusi pengajian tinggi.

2. Kesan Dalam Bidang Falsafah, Ilmu Kedoktoran, Ilmu Kimia, Geografi Dan Astronomi

Kekaguman orang-orang Eropah terhadap ilmu-ilmu dari para ilmua Islam tidak dapat disangkal lagi apabila pelopor-pelopor ilmuan Barat belajar di sekolah-sekolah umat Islam dan bahan-bahan penulisan oleh para ilmuan barat pada ketika itu diterjemahkan ke dalam bahasa Latin; antaranya Kitab al-Qanun karangan Ibnu Sina(Aviasinne) yang menyentuh tentang kedoktoran, kitab al-Hawiy karya al-Razi juga menyentuh tentang ilmu kedoktoran.

Gustave Lebon, mengatakan bahawa terjemahan buku-buku bangsa Arab (Islam) terutama buku-buku keilmuan hampir menjadi satu-satunya sumber bagi pengajaran di banyak institusi pengajian tinggi Eropah selama lima atau enam dekad.

3. Kesan Dalam Bidang Bahasa Dan Sastera

Orang-orang Barat, terutamanya para penyair Spanyol mendapat pengaruh besar dari sastera Arab. Sastera tentang ketangkasan berkuda, keberanian, majaz dan khayalan-khayalan yang tinggi nilainya dan indah mula masuk ke dalam sastera barat melalui sastera Arab, khususnya di Andalusia.

Penulis spanyol yang terkenal. Abanez, mengatakan bahawa bangsa Eropah belum mengenal ketangkasan berkuda dan tidak menganut sastera-sastera yang terjaga atau kebesaran kepahlawanan sebelum kedatangan bangsa Arab ke Andalusia dan sebelum tersebarnya para penunggang kuda dan pahlawan mereka di wilayah-wilayah selatan.

4. Kesan Dalam Bidang Perundangan

Pada zaman Napolean Bonapart, bahan-bahan yang mengandungi hukum-hukum fiqh dan tasyric Islam diterjemahkan ke dalam bahasa Eropah. Eropah pada masa itu belum mepunyai undang-undang yang mantap dan adil. Kitab Fiqh Imam Malik yang diterjemahkan adalah kitab al-Khalii yang menjadi intipati kepada undang-undang sivil Perancis yang banyak persamannya dengan hukum-hukum fiqh Malik.

Melihat kepada kesan dan pengaruhnya terhadap dunia ini, maka tidak dapat dinafikan bahawa betapa pentingnya tertegaknya daulah Islamiyyah ini. Inilah keistimewaan Islam dan apa yang dibawa olehnya. Oleh yang demikian, daulah Islamiyyah tertegak di atas paksi Islam yang syumul akan menjadi rujukan dan indicator kepada sistem ketidakadilan yang ada pada hari ini.

HOSPITAL SEBAGAI INSTITUSI DAKWAH

Pada zaman silam tiada beza antara klinik dan hospital. Hospital bermula dengan bilik khas yang menempatkan orang buta dan melarat. Hospital umum yang terawal dibina di bandar Leon, Perancis pada 542M. Sistem hospital tidak pernah dikenali dalam masyarakat Arab Jahiliah. Dalam Islam, ia bermula dalam Perang Khandak apabila Rasulullah mendirikan khemah bagi perawatan di Masji Madinah. Hospital pertama dalam sejarah Islam dibina oleh al-Walid Ibn al- Malik (706M) dan mengarahkan supaya pesakit kusta diasingkan daripada pesakit lain. Hospital bergerak juga telah wujud dalam sejarah Islam dan mula ditubuhkan oleh ‘Ali bin Isa al-Jarrah (320M).

Apa yang dipaparkan di atas adalah suatu sejarah. Apa yang penting dari itu ialah sejarah itu dilakarkan oleh insan pilihan Allah S.W.T. iaitu Rasulullah s.a.w.. Maka sudah pastinya pada apa yang berlaku pada diri Rasulullah s.a.w. itu adalah ikutan dan pengajaran. Adakah dengan hanya kita mengakui bahawa kewujudan hospital itu bermula pada zaman Rasulullah s.a.w. atau membanggakan bahawa Islamlah yang mempelopori bidang ini. Tak cukup sekadar itu. Bahkan kita dituntut mencari dan menggali apakah rahsianya di sebalik apa yang sudah dicaturkan oleh Allah S.W.T..

Sesungguhnya pada diri Rasulullah s.a.w. itu ikutan yang baik. Dengan hospital dakwah boleh dikembangkan dengan baik. Dengan hospital juga aqidah umat Islam dapat diselamatkan andai betul dengan caranya. Dan dengan hospital jugalah daulah Islam yang sudah dirampas kejam dapat dikembalikan. Syaikh Mustafa Masyhur mengingatkan kita dalam kitabnya Fiqh al-Dakwah bahawa pembinaan fardu muslim yang pertamanya akan menatijahkan terbinanya keluarga Islam. Dari entiti keluarga Islam itu maka akan lahir masyarakat Islam yang unik seterusnya akan tergaknya daulah Islamiyyah. Inilah formulanya yang sudah pun disebut oleh para pejuang Islam sebelum dan ketika ini. Usaha menjayakan hasrat inilah yang memungkinkan Hassan al-Banna dan Syed Qutb mendapat gelaran syuhada. Atas kalimah ini jugalah ramai pejuang-pejuang Islam ditembak mati dan dipenjarakan dengan kejam. Ini bukan satu kerja yang enteng dan mudah. Ia memerlukan tadhiyyah.

Jika hospital itu diibaratkan sebagai satu institusi dakwah, sudah pastinya ia memerlukan juru dakwah atau dacienya, manhajnya serta markaznya. Jika tidak, ia tak ubah seperti sebuah jasad yang tiada rohnya. Ini sangat malang. Inilah rijal yang dimaksudkan oleh Sayyid Hawwa dalam tulisannya Beberapa Pengajaran dalam Amal Islami yang memberikan fokus kepada proses pembinaan rijal.

PERANAN KITA

Sengaja penulis membawa kata-kata seorang tokoh barat yang mengkaji dan mengkagumi kehebatan Muhammad al-Fatih ketika membuka Kota Konstantinopel. Sekali lagi dibawakan:

“Sebenarnya penaklukan Kota Konstantinopel bukan dilakukan oleh Sultan Muhammad al-Fatih secara kebetulan. Ia cukup Mengadakan segala macam persiapan dan perhitungan yang matang sebelum memulai pekerjaannya itu. Ia menggunakan kemajuan ilmu pengetahuan yang telah dicapai pada masa itu”. (Barron Carra de Vauenulis, Pemikir-pemikir Islam)

Ternyata sekali bahawa usaha yang dilakukan oleh Muhammad al-Fatih bukan suatu yang kecil. Abu Hassan Ali al-Nadwi melakarkan dalam kitabnya yang bertajuk Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam bahawa beliau menggunakan segala kekuatan yang ada sama ada zahiriyah mahupun batiniyyah sehingga akhirnya kita melihat melalui teropong sejarah bahawa kegemilangan berjaya ditempa. Apakah rahsia mereka sehingga mampu menempa kejayaan sebegitu rupa. Secara ringkasnya dinyatakan beberapa perkara tentang kelebihan dan keistimewaan bangsa Turki dari tentera Muhammad al-Fatih(Abu Hasan cAli al-Nadwi: 1984):

  1. Bangsa Turki ialah bangsa yang baru bangkit mempunyai semangat untuk berjihad membela Islam dan belum terserap dengan gejala moral di kalangan masyarakat umumnya.
  2. Mempunyai keunggulan teratas dalam bidang persenjataan dan kekuatan angkatan perangnya yang dapat digunakan untuk meluaskan kekuasaan Islam baik di bidang material mahupun spiritual.
  3. Daulah uthmaniyyah mempunyai daerah yang strategik untuk menjadi pimpinan internasional.(Semenanjung Balkan)

“Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Justeru, di atas pundak siapa usaha ini akan diberikan. Dalam Muktamar Ikhwan al-Muslimin kelima, al-Syahid Hasan al-Banna menggagaskan bahawa khilafah adalah lambing kesatuan Islam dan asas penyatuan ummah. Ini adalah satu tuntutan yang perlu difikir, dilaksana dan diatur satu bentuk strategi untuk menghadapinya. Pelaksanaannya sudah tentu memerlukan jihad dan pengorbanan yang besar. Inilah tugas setiap umat Islam.

KESIMPULAN

Hospital Islam bukan hanya pada nama. Bahkan penulis berkeyakinan bahawa di era kegemilangan Islam pun, tidak semestinya dengan nama Islam itu yang menjadikan ia diangkat dan dipilih. Islam mengajarkan kepada dunia erti keadilan sebenar. Hakikat kebenaran diterapkan melalui akhlak umatnya dan dasar yang kukuh. Inilah kekuatan Islam. Secara peribadi, penulis bersetuju dengan apa yang ditulis oleh pemilik blog saifulislam.com seperti mana berikut:
“Bagi sebuah hospital, nilai Islamnya ialah pada rawatan yang terbaik, layanan kepada pesakit secara yang terbaik, pekerjaan kakitangannya yang efektif dan usaha membantu pesakit Muslimnya menjalankan ibadah dengan baik. Malah hospital Islam turut membantu pesakit non Muslimnya mendapatkan khidmat Chaplain agama mereka. Inilah nilai Islam bagi sebuah hospital.

Apabila Rasulullah SAW mengajar kita menyembelih haiwan ternakan, nilai Islam bukan hanya pada lafaz “Bismillah, Allahu Akbar” tetapi juga pada penggunaan pisau yang tajam. Pisau yang tajam adalah nilai produktiviti dalam penyembelihan haiwan. Lebih segera, kurang usaha, jimat masa, banyak hasilnya… ini didikan Nabi SAW. Jika kita lihat lafaz Bismillah sahaja yang Islamik, sedangkan menajamkan pisau bukan Sunnah, kitalah yang sekular itu.”(http://www.saifulislam.com)

Akhirnya, saya ingin memetik kata-kata Sayyid Abu al-A'la al-Maududi dalam satu ucapannya: “sekiranya di dunia ini terdapat institusi-institusi untuk melahirkan berbagai-bagai jurutera, maka kita berkewajipan pula untuk mengadakan institusi-institusi bagi mengeluarkan jurutera-jurutera untuk proses pembinaan kita: dan di antara apa yang perlu kita perhatikan pada institusi ini ialah:

  • Melahirkan Muslim daripada akhlaq-akhlaq masyarakatnya dan daripada kemahirannya kepada akhlaq-akhlaq hati dan imbasannya.
  • Melatih seorang Muslim yang bertanggungjawab dengan kata-katanya; setiap kata-katanya adalah bernilai dan membina.
  • Mendidik (mentarbiyyah) Muslim itu tadi dengan didikan yang sesuai dengan matlamatnya, serta memberi pengetahuan dengan matlamat yang hendak dicapainya.
  • Membina seorang Muslim sehingga ia mampu mengambil (membuat) keputusan yang bijaksana.
  • Melatihnya supaya tunduk kepada keputusan syura walaupun bercanggah dengan pendapatnya sendiri.
  • Melatihnya supaya boleh berbincang dengan bijak serta mengajarnya bagaimana membentangkan pendapatnya dan berhujah.
  • Mengajarnya bagaimana mengambil pengajaran daripada kritikan-kritikan dan menukarkannya menjadi cadangan-cadangan yang membina.
  • Menjelaskan kepadanya perbezaan di antara pemikiran yang membina dan pemikiran yang meruntuhkan kerana betapa mudahnya meruntuhkan dan sukarnya membina.
  • Mengajarnya bagaimana untuk memajukan yang ada dan mengimbuh yang tidak ada, serta memperingatkannya bahawa mudahnya merobohkan yang sedia ada dan sukarnya membina yang tiada.
  • Melatihnya bagaimana mengambil pengajaran daripada sesuatu yang berada di sekitarnya untuk sampai kepada matlamat pembinaannya.

Sebarang komen, sila hantarkan kepada: i_mind09@ymail.com. Sekian terima kasih.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...