Dengan gejala murtad terus bergolak agak elok direnung kembali temuramah ekslusif oleh Jamilah Aini Mohd. Rafiei bersama Ustaz Tajuddin Othman Abdullah (Reverend Thomas Laiden), bekas Paderi Besar Gereja-Gereja Seluruh Sabah.
BEKAS Paderi Besar Sabah, TAJUDDIN OTHMAN ABDULLAH, mengupas perbandingan yang cukup ilmiah di antara agama Islam dan Kristian berdasarkan pengkajian yang cukup mendalam lagi terperinci berasaskan pengalaman menjadi Paderi Besar Kristian selama 12 tahun. Apa yang dihuraikan beliau itu adalah iktibar buat mereka yang MURTAD DARI AGAMA ISLAM.
Kristian menurut kitab Injil yang asal jika dikaji sedalam-dalamnya, maka jawapan akhir yang akan ditemui adalah ISLAM. Hakikat ini telah dibuktikan oleh ramai orang Kristian yang akhirnya mendapat hidayah Allah dan kemudiannya memeluk agama Islam.
Tetapi apa yag paling menakjubkan kali ini, kita berpeluang berkongsi pengalaman hidup yang tiada tolok bandingannya bersama USTAZ TAJUDDIN OTHMAN ABDULLAH, seorang bekas paderi besar di seluruh Sabah, yang dilahirkan sebagai saorang Kristian dan menghabiskan sebahagian besar dalam hidupnya untuk belajar menjadi paderi. Beliau yang selama ini berada di tahap paling tinggi dan mulia sekali di Sabah kerana berkedudukan untuk mengampunkan segala dosa yang dilakukan oleh orang-orang Kristian Sabah, contohnya orang yang paling berpengaruh ketika itu, Pairin Kitingan.
Pengalamannya sebagai Bekas Paderi di sekitar 80-an membuatkan beliau banyak mengetahui selok belok agama termasuk agama Islam. Setelah puas mengkaji, akhirnya Allah memberikan hidayah kepadanya dengan memilih Islam sebagai jalan hidup. Beliau kini bertugas di Majlis Agama Islam Melaka di bahagian Unit Kristianologi.
Bersama seterusnya dengan JAMILAH AINI MOHD. RAFIEI, turut hadir SUZILAWATI ROZAINOR ABBAS dengan jurufoto WAN ZAHARI WAN MOHD. SALLEH yang berdialog dengan beliau di Masjid Al-Azim (Negeri), Air Keroh, Melaka, baru-baru ini.
SEMASA KRISTIAN saya dikenali sebagai Paderi Thomas Laiden. Saya berasal dari Sabah dan berketurunan Solok.Agama asal saya ialah Roman Katholik. Saya mendapat pendidikan di Seminary Kepaderian Vatican Itali, iaitu institusi kepaderian terulung di Itali dan di dunia dengan dibiayai oleh Persatuan Kristian Sabah. Saya tamat pengajian pada tahun 1985 seterusnya bertugas sebagai paderi di Vatican. Seterusnya saya memohon untuk kembali ke negeri asal saya, iaitu Sabah.


