Monday, November 7, 2011

Perumusan Semula Demokrasi Islam oleh Ghannouchi

Dr Ahmad Farouk Musa [Diterjemahkan oleh Ahmad Nabil Amir, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front]

Perkembangan dunia Islam sejak revolusi Iran pada 1979 telah memperlihatkan dengan jelas bahawa perhubungan antara demokratisasi dan kebangkitan Islam adalah fenomena yang kompleks; dan merupakan satu elemen yang sangat penting dalam dinamika politik yang melingkari dunia Islam kontemporer. Bagi kebanyakan manusia di Barat, konsep “Demokrasi Islam” mungkin, merupakan suatu fahaman yang jengkel.
Memandangkan demokrasi secara esensinya, adalah konsep yang dapat dicabar, makanya adalah mustahak untuk memahami persepsi tentang demokrasi dalam konteks gerakan dan gelombang kebangkitan Islam mutakhir. Dalam dunia Islam, pertembungan ini mencetuskan cabaran untuk memaknai demokrasi Islam dengan cara yang mengharmonikan diantara tuntutan yang meningkat terhadap partisipasi politik dan desakan untuk menubuhkan kerajaan yang mempunyai nilai Islam yang tuntas dan autentik.

Dalam sejarah Islam, terdapat beberapa konsep dan imejan yang penting yang telah mencorakkan visi kontemporer tentang pengertian sebuah masyarakat manusia yang adil. Tanpa mengira pandangan yang berbeza dalam mendefinisi demokrasi Islam, konsep teras yang utama yang diterima oleh hampir kesemua tradisi dalam Islam adalah konsep tawhīd, yang diertikan sebagai “keyakinan dan penyaksian bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah, dan daripada asas pengalaman beragama dalam Islam, dengan itu, berdirinya Tuhan yang bersifat tersendiri dan kehendaknya adalah imperatif dan menjadi petunjuk untuk kehidupan manusia seluruhnya.”

Dalam kerangka ini, ia dapat diperhujah bahawa kekuasaan Tuhan yang mutlak telah membungkam mana-mana hirarki manusia sebagai mustahil kerana di hadapan Tuhan, semua manusia adalah sama. Lantaran itu, tawhīd membekalkan asas konsepsi dan teologi yang memberi penekanan yang aktif tentang persamaan hak dalam sistem politik. Seawal zaman Muawiyah, pimpinan yang menerajui pemerintahan setelah berakhirnya era Khalifah al-Rasyidah, yang menegakkan dasar hirarki dan sistem diktator telah dibidas sepanjang sejarah sebagai tidak-Islamik.

Kerana itu, tawhīd telah melandaskan basis untuk melangkaui penegasan tentang persamaan kepada gerakan revolusi bagi menumbangkan penindasan diktator. Di Iran, Ali Syari'ati dalam karya pentingnya “On the Sociology of Islam” (Tentang Sosiologi Islam) menulis bahawa dalam “pandangan dunia tawhīd, manusia hanya gerun pada satu kuasa, dan bertanggungjawab di hadapan hanya satu hakim…, Tawhīd membekalkan kepada manusia kebebasan jiwa dan kemerdekaan dan karamah insan. Penyerahan padaNya sahaja – yang tertinggi daripada segala yang wujud – mendesak manusia untuk memberontak terhadap segenap kuasa yang palsu”.

Dalam konteks ini, revolusi Iran boleh diungkapkan sebagai “revolusi tawhīd”. Walaupun tawhīd, mungkin digunakan sebagai pemangkin ke arah penciptaan negara yang tidak demokratik, seperti yang diperlihatkan sepanjang sejarah Islam; ia juga melandaskan ideologi tentang persamaan dan penentangan radikal terhadap kewenangan dan penyalahgunaan kuasa.

Monday, October 31, 2011

Kelebihan Puasa 9 Zulhijjah Dan Hari Arafah

Puasa 9 Zulhijah dan hari Arafah (صيام تسع ذي الحجة ويوم عرفة)
Oleh Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi

Terjemahan :
Bulan Zulhijjah merupakan salah satu dari 4 bulan2 haram, dan ia dikenali sebagai bulan haji, dimana hari2nya adalah 10 yang awal, yang merupakan seafdhal-afdhal2 hari didalam setahun, sebagaimana diperkatakan oleh beberapa hadith. Dari Ibn Abbas ra., Rasullulah saw bersabda :
ما من أيام العمل الصالح فيها أحب إلى الله من هذه الأيام" يعني أيام العشر، قالوا: ولا الجهاد في سبيل الله؟ قال: "ولا الجهاد في سبيل الله، إلا أن يخرج الرجل بنفسه، وماله، فلا يرجع بشيء من ذلك
"'Tidak terdapat pada hari2 melakukan amalan soleh yang disukai Allah swt dari hari ini, yakni hari2 10', maka mereka berkata : 'Bukankan jihad dijalan Allah?'. Baginda menjawab :'Dan bukanlah jihad dijalan Allah, melainkan seorang lelaki yang keluar dengan dirinya sendiri, dan hartanya, dan tidak kembali sesuatu darinya". -[Hadirh riwayat Bukhari, Abu Daud, Tirmudzi dan Ibn Majah].

Dan didalam lafaz lain :
ما من أيام أعظم عند الله، ولا أحب إلى الله العمل فيهن من أيام العشر، فأكثروا فيهن من التسبيح والتحميد، والتهليل والتكبير

"Tidak ada hari yang lebih agung/mulia disisi Allah, dan tidaklah paling disukai Allah swt didalamnya melainkan dari hari2 yang sepuluh, maka perbanyakkan Tasbih, Tahmi,.Tahlil dan Takbir" - [Hadith riwayat Tabrani didalam al-Kabir dengan sanad yang baik].

Sa'ed bin Jubair apabila masuk hari2 ke 10, bersungguh dia beramal sehingga tidak kuat lagi untuk melakukannya.

Berpuasa pada hari2 10 ini merupakan perkara yang semulia bagi mendekatkan seorang Islam kepada Tuhannya (Tidak dikira hari yang ke 10, yang merupakan hari Eid, maka ia haram dengan pasti).

Dan hari yang paling banyak fadhilatnya adalah hari ke 9, iaitu hari Arafah, hari dimana jemaah Haji berwukuf dengan keadaan menghadapi kusut dan berabuk, dengan pakaian ihram yang menyerupai kain kafan orang mati, tunduk kepada Allah menjawab seruannya, lalu berdo'a kepadanya.

Para jemaah Haji mendekati Allah disana dengan memakai Ihram, berTalbiah dan berdo'a, dan mereka yang lain (selain dari jemaah haji) berada dirumah2 mendekati tuhannya dengan berpuasa. Nabi saw telah ditanya tentang berpuasa pada Hari Arafah, baginda bersabda :

يكفِّر السنة الماضية والباقية

" Menghapuskan dosa setahun yang lepas dan yang berbaki" - [Hadith Riwayat Muslim dan lain2nya dari Abi Qatadah].

Didalam riwayat lain Nabi saw bersabda :

صيام يوم عرفة إني أحتسب على الله تعالى أن يُكفِّر السنة التي بعده والسنة التي قبله

"Puasa hari Arafah, sesunguhnya aku berharap Allah swt agar menghapuskan dosa setahun yang lepasnya dan tahun yang sebelumnya" - [Hadith riwayat Tirmudzi].

Akan tetapi, apakah ini termasuk mereka yang berwukuf di Arafah juga ? Jumhur ulama mengatakan bahawa adalah mustahab berpuasa bagi mereka yang bukan jemaah Haji.

Dari Abu Hurairah ra. bahawa Nabi saw melarang berpuasa hari Arafah bagi mereka yang berada di Arafah

(أنه صلى الله عليه وسلم نهى عن صوم يوم عرفة بعرفات )
(Riwayat Ahmad dan Ibn Maajah). Dan dari Umm Fadhil (isteri al-Abbas),

أنهم شكوا في صوم النبي صلى الله عليه وسلم يوم عرفة، فأرسلت إليه بلبن، فشرب، وهو يخطب الناس بعرفة

"bahawa mereka ragu akan puasa Nabi saw pada hari Arafah, maka dikirim kepada baginda susu lalu [baginda] meminumnya, dan beliau sedang berkhutbah di Arafah" - [Hadith riwayat Muttafaq 'alaih].
Maka ia menunjukkan tidak disukai (tidak digalakkan) berpuasa bagi mereka yang berwukuf disaat yang agung ini, dan hikmah tidak berpuasa kerana kemungkinan akan melemahkan mereka dari melakukan zikir dan do'a, dan melakukan amalan2 haji.

Ini juga merupakan hari eid (raya) bagi yang berwukuf dimana mereka berkumpul beramai2, sebagaimana ditunjukkan oleh hadith yang diriwayatkan oleh Umar tentang turunnya firman Allah swt :

(اليوم أكملت لكم دينكم)
"Hari ini telah aku sempurnakan untuk kamu semua agama kamu" dan hadith 'Uqbah bin Amir :

يوم الفطر، ويوم النحر، وأيام التشريق عيدنا أهل الإسلام، وهي أيام أكل وشرب

"Hari eid al-Fitr, hari qurban, dan hari2 Tasyrik merupakan hari raya kita orang2 Islam, ia merupakan hari makan dan minum" - [Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmudzi, al-Nasaa'i dan al-Hakim, sebagaimana didalam Shahih al-Jaami' al-Shaghir #8192].

Maka yang rajih (pendapat yang terkuat) disana ialah bahawa Hari Arafah mempunyai kaitan dengan hari2 Eid dan Tasyrik dinisbahkan dengan jemaah Haji, ini merupakan jalan tengah diantara dua dalil. - tamat terjemahan –

Terjemahan dari petikan buku : Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi. Fiqh al-Shiyaam : Taisir al-Fiqh fi Dau' al-Quran wa al-Sunnah. cet. ke 3. Beirut : Muassasah al-Risaalah, 2001. ms 140-142.

Wednesday, July 20, 2011

Perjuangan Islam VS Perjuangan Melayu

Ketika saya menyemak semula bahan-bahan usrah lama saya yang pernah saya catat di dalam medan kampus dahulu, terselak satu catatan kisah ghulam al-dakwah dalam satu hadith yang panjang. Kisah ghulam al-dakwah atau juga terkenal dengan kisah ashabul ukhdud ini menceritakan seorang remaja yang diprojekkan oleh kerajaan yang ada pada masa tersebut atas tujuan mengekalkan  kekuasaan pemerintahannya dengan bertulang belakangkan sihir. Suatu hari, apabila ahli sihir istananya yang sudah tua dan uzur, maka dicadangkan kepada raja agar mencari seorang penggantinya dari kalangan remaja agar kuasa pemerintahan itu dapat terus bertahan. Lalu seluruh negeri mencari pemuda yang dikendaki dengan ciri-ciri yang telah disebutkan oleh ahli sihir tua itu. Maka bertemulah dengan seorang pemuda yang telah diprojekkan untuk menyambung kesinambungan ilmu sihir yang dimiliki oleh ahli sihir tersebut. lalu anak muda ini diminta untuk menuntut ilmu sihir bersama orang tua di suatu tempat. Namun dalam masa yang sama, remaja ini turut mempelajari agama tauhid dengan seorang pendeta. Setelah diringkaskan ceritanya, maka terserlahlah kebenaran ilmu pendeta yang mengajarkan agama tauhid tersebut dan pemuda tersebut dimurkai oleh pihak istana.


Setelah agak alam saya membaca kembali nota tersebut dan membelek potongan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam sahihnya, riwayat imam Ahmad dalam musnadnya dan riwayat imam Timizi dalam Kitab Sunannya, saya merasakan seolah-olah ada persamaan dengan apa yang berlaku di depan mata kita hari ini.


Semalam juga ketika saya membaca beberapa artikel dari beberapa laman web dan blog, terakses saya dengan satu laporan berita tentang tawaran UiTM yang ingin menawarkan anugerah Ibrahim Ali kepada pelajarnya. Anugerah yang bernilai RM5000 sumbangan Ibrahim Ali sendiri dengan meletakkan beberapa syarat-syarat tertentu. saya cuba nyatakan syarat-syaratnya yang saya petik dari harakahdaily.net:


  1. Menjadi pemimpin persatuan yang berdaftar dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni seperti persatuan kebudayaan, kesenian Melayu atau persatuan kebangsaan lain yang dianggap cemerlang dan berkesan di dalam atau di luar kampus.
  2. Menjadi pemimpin atau jawatankuasa yang memperjuangkan bangsa dan budaya di luar kampus seperti GPMS, ABIM, PERKASA, GAPENA.
  3. Mendapat pengiktirafan dari badan-badan di luar UiTM.
Idea ini juga lahir daripada beliau sendir selaku pngerusi PERKASA. 

PEJUANG BANGSA VS PEJUANG AGAMA

Saya secara jujurnya menyambut baik penyampaian dan penguniaan anugerah tersebut dan ia merupakan suatu dorongan untuk mahasiswa terus giat  melibatkan aktiviti mereka dalam arus masyarakat walaupun sekadar menjadi pimpinan mahasiswa. mahasiswa hari ini dikatakan lesu dan hanya sibuk atau menyibukkan diri mereka dengan aktiviti tak menguntungkan. sesetengan mahasiswa yang sudah pun menamatkan pengajian mereka tak mampu untuk masuk dan melibatkan diri dengan masyarakat kerana kurangnya latihan di medan kampus sebelum itu. Namun, apa yang menjadi persoalannya ialah tatkala banyak anigerah-anugerah yang diberikan kepada pejuang-pejuang atas nama bangsa, di mana peranan kerajaan atau lebih khusus lagi pihak institusi pendidikan untuk memberikan galakkan dan motivasi kepada pejuang-pejuang agama. Memang bukan itu sewajarnya didambakan. Tetapi sekurang-kurang ada check and balance antara kedua-dua unsur ini. Ada imbangannya. Jelas hari ini kita melihat pihak kerajaan lebih cenderung memberikan galakan ke arah memartabatkan melayu. Sedangkan masih banyak pembelaan Islam perlu diberikan kepada setiap lapisan masyarakat. banyak tokoh-tokoh agama dan profesional yang banyak menyumbangkan kepada kestabilan dan kemakmuran negara, tetapi mereka lebih banyak dilihat sebelah mata. Sebaliknya yang belaku dan apa yang lebih merisaukan lagi apabila pemimpim melayu sendiri melihat melayu hanya pada sudut pandang keseniannya sahaja. Lihat sahaja anugerah yang disediakan kepada para-para artis kebudayaan yang kononnya memperjuangkan seni melayu sedangkan ada di antaranya yang merosakkan imej Islam itu sendiri.

IBRAHIM ALI DAN PERKASA

Pada saya mungkin pihak UiTM bersetuju untuk menawarkan anugerah ini kepada pelajar-pelajarnya kerana melihat kepada sumbangan Ibrahim Ali kepada melayu di Malaysia. Mungkin itu benar atas sebab beliau adalah pengasas Perkasa sebagai platform memperjuangkan melayu dan selalunya lantang memperkatakan tentang melayu. Tetapai, banyak kenyataan-keanyataan beliau yang lansung tidak ada kepentingan dan keuntungan untuk Islam. Ucapannya yang bersifat racist penganjuran perhimpunan bersih 2.0 sewajarnya dilihat mampu menggugat perpaduan kaum yang cuba digarap Perdana Menteri dalam agenda 1 Malaysia. Ibrahim Ali adalah individu kontroversi. 

MELAYU DAN PERJUANGAN ISLAM

Memperjuangkan melayu bukan suatu yang salah. Hakikatnya setiap bangsa mempunyai rasa punya dan sayang kepada bangsanya. Itu tidak ada masalah. Melayu sekiranya dilihat dengan kelarangka yang lebih luas lagi, ia tidak hanya tertumpu kepada batang tubuh melayu itu sahaja. Bahkan melayu amat sinonim dengan Islam itu sendiri. Sewajarnyalah antara perkara yang perlu diberikan perhatian dalam penganugerahan anugerah tersebut ialah bagaiman konsistennya pelajar tersebut mempertahankan Islam dan menyampaikannya kepada masyarakat. Sebagai sebuah institusi pendidikan yang dikatakan membela masyarakat bumiputra, sewajarnya tindakannya mengambilkira nilai ilmu dan intelek. Jangan disebabkan ada unsur-unsur kepentingan peribadi seseorang, sebuah institusi pendidikan yang gah memperjuangkan ketamadunan ilmu dan telah banyak mengeluarkan tokoh-tokoh intelektual berwibawa sebelum ini dilihat dengan label yang tidak sepatutnya.

Tuesday, July 19, 2011

Pusat Hiburan: Kedah vs Melaka

Setiap ruang kuliah yang terisi di surau-surau atau masjid-masjid di negara ini, para ustaz dan imam mengingatkan para jemaah tentang kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak. Ramai umat Islam membincangkan persiapan-persiapan awal menghadapi bulan yang penuh dengan kemuliaan itu. Ketika ramai orang sedang mempersiapkan diri menghadapi bulan mulia ini dengan amalan ibadah, Mohd Ali Rustam ,Ketua Menteri Melaka meluluskan lanjutan masa operasi pusat-pusat hiburan di negeri dari jam 1 pagi kepada 3 pagi. Walaupun tindakan 'kurang akal' ini mendapat tentangan dari pelbagai pihak termasuklah dari Biro Agama UMNO sendiri dan DAP. Keputusan itu dibuat ikutan permintaan beberapa pengusaha pusat hiburan yang beroperasi di negeri itu.

Sebaliknya negeri kedah baru-baru ini telah membuat ketetapan penutupan semua pusat-pusat hiburan yang beroperasi di negeri itu bagi menghormati bulan Ramadhan al-Mubarak. Kata Menteri Besar Kedah, penganut agama selain Islam sewajarnya menghormati bulan Ramadhan sebagai bulan ibadah yang mulia bagi umat Islam. Walaupun tindakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu, yang diterajui oleh PAS mendapat tentangan beberapa pihak dan diminta untuk dikaji semula, menteri besarnya menegaskan bahawa ianya tidak perlu lagi dibahaskan kerana persoalan agama sewajarnya diberi penghormatan.

PUSAT HIBURAN DAN KEROSAKAN GENERASI

Semua pihak mengetahui bahawa pusat-pusat hiburan apatah lagi kelab-kelab malam di bandar-bandar besar seperti Melaka Raya, sememangnya terdedah dengan pelbagai perkara sumbang yang boleh meruntuhkan masyarakat. Walaupun tidak dinafikan bahawa tindakan ini lebih kepada meraikan pelancong-pelancong yang datang di negeri itu, tetapi apakah jaminan bahawa tidak akan ada perkara-perkara maksiat yang melibatkan masyarakat Malaysia terutamanya anak-anak remaja. Apa yang pasti ialah pekerja-pekerja dari pusat-pusat hiburan itu terpaksa menambah kerja lebih masa.

SIMBOLIK BUTA

Manusia menilai atas ilmu yang dimilikinya. Ilmu yang dipandu dengan iman dan sumbernya ialah al-Quran. Tindakan manusia yang kadang-kadang takboleh diterima akal ini bertitik tolak dari pemikiran seseorang itu serta cara hidup mereka. Adakah memadai untuk kita menyatakan tentang kegemilangan sesebuah tamadun dengan hebatnya pusat-pusat hiburan yang mereka miliki. Tidak ada dalam sejarah ketamadunan Islam yang mencatatkan bahawa kehebatan tamadun yang dibangunkan tertegak atas pusat-pusat hiburan mereka yang hebat. Pusat-pusat hiduran bukanlah suatu mercu tanda kehebatan sesebuah kerajaan atau tamadun.Bukanlah kerana Melaka sudah dianggap negeri yang maju, maka wajar untuknya membuka ruang-ruang maksiat dengan lebih luas lagi. Simbolik kepada sesebuah kerajaan terletak kepada budaya ilmu, akhlak dan moral rakyatnya, pembangunan sritual dan fizikal negerinya dan rakyatnya. Bukan hiburan yang sebagai tonggak. Inilah simbolik buta yang tercerna dari pemikiran sekular sesetengah pemimin hari ini.

MENILAI SEMUA

Tindakan negeri Melaka sewajar dinilai semula bagi menghormati sensitiviti setiap masyarakat. Jangan disebabkan kehendak dan tuntutan sesetengah pihak yang ditagihkan, maka Islam yang dipegang terpaksa digadaikan. Melaka dalam lipatan sejarahnya adalah negeri Islam yang menggunakan hukum undang-undang jenayah Islam dalam pemerintahannya suatu ketika dahulu. Hari ini, nampaknya bukan Islam lagi yang mahu dipertahankan, tetapi semacam Melaka cuba memadamkan sejarah putih itu dengan dakwat hitam dari tangan-tangan pemimpin-pemimpin mereka. Wallahu A'lam.

Monday, May 9, 2011

SURAT REMAJA KEPADA PM NAJIB

Assalamualaikum Dato’ Seri.


Saya, Muhammad Muizzuddin bin Zaini. InsyaALLAH Julai nanti genaplah umur saya 19 tahun. Masih berbaki lebih kurang 2 tahun sebelum saya layak mengundi. Tetapi saya yakin dalam ruang demokrasi tidak pula mensyaratkan yang saya hendaklah berumur 21 tahun untuk melayakkan surat saya ini dibaca Dato’ Seri.


Dato’ Seri, saya ingin memperkenalkan diri sebagai remaja yang sangat ingin tahu. Keinginan saya ini menjadikan saya remaja yang tidak hanya terpaku di meja belajar semata. Saya mampu menonton berita hingga ke penghujungnya (tidak di bahagian Sukan semata).

Saya juga mampu membaca suratkhabar dari muka depan hingga ke muka akhir. Saya sering ‘singgah’ di laman-laman sesawang untuk melihat berita-berita yang tidak tersiar di media arus perdana. Saya juga remaja yang suka meladeni buku-buku yang tidak menjadi kegilaan kebanyakan remaja seusia saya.

Tidaklah pula saya katakan yang saya lebih tahu daripada Dato’ Seri, tidak. Saya cuma mahu tegaskan saya adalah remaja yang memerhati. Saya adalah remaja yang bukan kerjanya sehari-hari hanyalah makan, tidur, ‘menelan’ buku teks semata. Saya adalah remaja yang mengikuti rapat perkembangan-perkembangan semasa negara tercinta ini.

Izinkan saya Dato’ Seri untuk memberi pandangan saya. Pandangan seorang budak, seorang remaja. Mungkin Dato’ Seri fikir, apalah ada pada seorang remaja seperti saya. Justeru, suka untuk saya ingatkan pada Dato’ Seri yang InsyaALLAH kelak, kamilah yang akan membuang undi!

Dato’ Seri Najib yang saya hormati, memimpin sebuah negara bukanlah perkara yang mudah. Tidak pernah ia menjadi mudah, tidak boleh ia diambil mudah. Ia adalah persoalan besar dan penting. Persoalan yang diletakkan tinggi di dalam Islam. “Kepimpinan adalah amanah, celaan di dunia, dan penyesalan di akhirat”, begitu sabda Nabi SAW.

DASAR

Saya, yang tohor ilmu dan cetek pengalaman ini percaya bahawa setiap tindakan kita adalah bergantung kepada prinsip yang kita letakkan sebagai neraca asas. Bagi sesetengah orang, mereka meletakkan Demokrasi sebagai neraca asas mereka. Ada yang meletakkan kepentingan peribadi, atau kroni, atau Sosialisme, Liberalisme dan sebagainya. Bagi kita, seorang Muslim, neraca asas yang menjadi dasar pertimbangan kita tentulah ISLAM. Izinkan saya bertanya, apakah Asas Utama kepada setiap tindakan Dato’ Seri?

Apakah Islam? Atau Kepentingan diri, atau kroni, atau selainnya?

Maaf Dato’ Seri, kiranya jawapan Dato’ Seri bahawa asas bagi setiap tindakan Dato’ Seri adalah Islam (saya tak pasti jika Dato’ Seri akan memilih jawapan selainnya), maka saya ada beberapa soalan untuk Dato’ Seri.

Saya amat keliru dengan dasar Program Transformasi Ekonomi yang dibawa Dato’ Seri. Apakah ianya dirangka dengan neraca Islam atau selainnya. Justeru, saya mohon penjelasan Dato’ Seri.

Saban hari saya dan rakan-rakan menerima berita dari segenap pelusuk negara, sama ada dekat dengan kami atau jauh, remaja seusia kami yang MENGHILANG! Iya, ‘hilang’ nyawa kerana penggunaan dadah berlebihan atau kerana perlumbaan haram. ‘Hilang’ maruah dan harga diri kerana amalan penzinaan lewat pergaulan bebas. ‘Hilang’ akal kerana ketagihan ekstasi, pil khayal dan arak. ‘Hilang’ kewarasan hingga tergamak membunuh bayi kecil atau ditinggalkan di jalanan untuk menjadi habuan anjing dan hurungan semut. ‘Hilang’ kemampuan untuk menjadi barisan pelapis kepimpinan negara. ‘Hilang’ arah hinggakan nafsu ‘disembah’ sebagai Tuhan! HILANG Dato’ Seri, HILANG!

Saya begitu terkesan pada pesan Saiyidina Ali KWJ, “Lihatlah pada generasi muda, untuk menilai masa depan ummatnya”. Saya tergamam dan jadi takut Dato’ Seri, melihatkan rakan-rakan sebaya yang hanyut. Apakah sebegini hancur dan punahnya masa depan negara tercinta ini!?

PELAN TRANSFORMASI EKONOMI

Program Transformasi Ekonomi anjuran kerajaan pimpinan Dato’ Seri turut menggariskan perancangan untuk MENJADIKAN MALAYSIA SEBUAH HAB HIBURAN MALAM UNTUK MEMACU INDUSTRI PELANCONGAN. Di atas alasan untuk memperkasa industri pelancongan dan menarik pelancong juga kerajaan pimpinan Dato’ Seri merancang penubuhan kelab-kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan mempakejkan semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Kerajaan Dato’ Seri juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020. Penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012 akan menyusul. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014.

Maka menjelang 2014 negara kita akan memiliki sekurang-kurangnya 10 kelab malam di zon hiburan. Rancangannya adalah untuk menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudkan lebih kurang 5,000 pekerjaan baru menjelang 2020. Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan Dato’ Seri akan merubah beberapa peraturan hiburan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan malam.

Dato’ Seri juga berhasrat melonggarkan lagi syarat-syarat untuk persembahan artis luar negara. Dan kami telahpun menyaksikan bagaimana seorang penyanyi gay membuat persembahan, memuaskan nafsu remaja-remaja muda dengan kebenaran daripada kerajaan Dato’ Seri.

Izinkan saya ulangi soalan saya Dato’ Seri, apakah Islam diletakkan sebagai neraca timbangan ketika Dato’ Seri merangka, membentang dan membahas idea ini? Ataupun Dato’ Seri punya pilihan lain yang Dato’ Seri lebih suka untuk diletakkan sebagai neraca timbangan?

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri, apakah Dato’ Seri penuh sedar bahawa perancangan Dato’ Seri ini adalah perancangan ‘PEMUSNAHAN’ besar-besaran? Ini bukanlah pelan pembangunan ekonomi, ini adalah pelan ‘PEMUSNAHAN’ berskala besar yang akan menjadikan rakan-rakan seusia saya, remaja semuda saya atau lebih muda hancur musnah Akhlaknya, punah-ranah Sahsiahnya.

Iya, Dato’ Seri akan ‘menghancur’ dan ‘membunuh’ pemimpin masa depan, para cerdik pandai generasi akan datang dengan lambakan hiburan dan keseronokan melampau! Saya dan rakan-rakan bakal dihidang dengan acara memuas nafsu yang berterusan. Ini akan menatijahkan hanya satu Dato’ Seri, iaitu hilang upayanya kami untuk menduduki barisan kepimpinan negara suatu masa nanti. Atau apakah pada pandangan Dato’ Seri, yang kami akan menjadi lebih bijak dan pandai kiranya ‘menelan’ hiburan-hiburan ini?

IFF dan AURAT

Dato’ Seri, seolah-olah saya pernah mendengar Saiyidina Umar al-Khattab menegaskan, “Bahawa adalah kita, ummat yang dimuliakan Allah dengan Islam. Sesiapa yang mencari kemulian selain daripada Allah, maka akan dihina Allah”. Terasa-rasa seperti terdengar SA Umar bertitah demikian kerana ia begitu meresap masuk di hati ini.

Dato’ Seri, saya begitu kecewa dan terkesima jadinya waktu melihat Dato’ Seri dan isteri melangkah megah di Festival Fesyen Islam, Monte Carlo tempoh hari. Saya tak dapat mengawal hati untuk berteriak-teriak marah tatkala melihat gambar pakaian-pakaian yang diperaga atas nama “Kelembutan Islam” (Modesty of Islam) yang dinaungi oleh isteri Dato’ Seri dan pastinya dengan izin Dato’ Seri. Saya dan sahabat-sahabat terpinga-pinga dan tertanya-tanya apakah ini pemahaman Dato’ Seri dan isteri mengenai pemakaian di dalam Islam?

Saya dan rakan-rakan jadi jelak dan muak Dato’ Seri, maaflah. Waktu Dato’ Seri ‘bertempik’ berikrar untuk mempertahankan Islam dan Melayu, isteri Dato’ Seri tidak pernah berusaha untuk menyahut seruan suaminya sendiri. Isteri Dato’ Seri tidak pernah kelihatan menutup aurat dengan sempurna. Isteri Dato’ Seri berpeluk mesra dengan orang yang haram bersentuhan (bukan mahram) tanpa segan silu di khalayak ramai. Saya tertanya-tanya, apakah Dato’ Seri meredhai perbuatan isteri Dato’ Seri ini?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...